Thursday, November 11, 2010

Lapuran kemalangan



Cara membuat repot kemalangan jalanraya

Pengaduan kemalangan jalan raya merangkumi tiga peringkat atau proses. Peringkat I merupakan peringkat di mana pihak-pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut tampil membuat pengaduan polis. Peringkat II melibatkan siasatan pihak polis terhadap pihak-pihak terlibat serta pemeriksaan terhadap kenderaan. Peringkat III merupakan peringkat penyediaan dokumen-dokumen siasatan.



PERINGKAT 1

Mengikut peruntukan seksyen 52 Akta Pergankutan Jalan Raya 1987, setiap kecelakaan jalan raya hendaklah dilaporkan kepada polis. Pihak yang terlibat hendaklah pergi ke balai polis untuk membuat pengaduan samada dengan menulis sendiri atau melalui anggota polis yang bertugas di Pejabat Pertanyaan. Selain itu, pihak yang terlibat boleh menghubungi balai polis melalui telefon mengenai kecelakaan yang berlaku dan anggota polis yang bertugas mencatatkan segala maklumat yang diberikan. Dalam pengaduan tersebut, pihak yang terlibat hendaklah menuliskan senario kejadian yang berlaku pada sekeping kertas dan menyerahkan sendiri di balai polis untuk dijadikan laporan polis.



Maklumat-maklumat yang perlu diambil kira semasa membuat pengaduan polis adalah seperti berikut :

*Tarikh, masa dan tempat kejadian (tanda-tanda nyata atau "landmark" boleh digunakan bagi menggambarkan tempat kejadian).
*Pihak-pihak yang terlibat (catatkan nombor pendaftaran, jenis dan warna kenderaan).
*Kenderaan, mangsa yang terlibat (termasuk kematian) dan kerosakan kenderaan atau harta awam.
*Maklumat-maklumat yang diperolehi hasil pengamatan kelima-lima pacaindera pengadu sebelum, semasa dan selepas kejadian. (Jangan sama sekali membuat andaian).



PERINGKAT II

Setelah laporan dibuat pengadu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat kes trafik. Siasatan awal dilakukan dengan merakam percakapan, pengecam tempat kejadian, pemeriksaan teliti kenderaan yang terlibat dan mengklasifikasikan kes mengikut undang-undang. Klasifikasi kes bergantung kepada keterangan fakta dan data-data yang dikumpul semasa siasatan.



"Refer to Insurance"

Bagi kes kenderaan kecil, tidak melibatkan kematian atau kecederaan serta kerosakan kecil ke atas kenderaan yang terlibat, pegawai penyiasat berpendapat siasatan lanjut tidak perlu, maka kes tersebut diklasifikasikan sebagai "RTI - Refer To Insurance" dan pengadu boleh membuat tuntutan sivil.



Siasatan lanjut - kertas siasatan dibuka

Bagi kes kecelakan yang serius, siasatan terperinci akan dilakukan dan kertas siasatan akan dibuka. Setelah segala keterangan serta data-data kecederaan tersebut diperolehi, pihak yang bersalah akan ditetapkan untuk didakwa.



Mengkompaun kesalahan

Bagi kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun, satu notis saman akan dikeluarkan ke atas pesalah yang terlibat. Bayaran kompaun boleh dibuat dikaunter Trafik C.O.P.S - Compound On Line Payment System.



Hadir Mahkamah

Jika tidak membayar kompaun, pesalah hendaklah hadir di mahkamah pada tarikh yang dinyatakan dalam notis saman.



Nota: Mengikut Seksyen 104 Akta Pengangkutan Jalan 1987 setiap kes kemalangan jalan raya samada serius atau tidak, adalah menjadi tanggungjawab pengadu untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada syarikat insurannya bagi membolehkan suatu tuntutan di buat di bawah sesuatu polisi.



PERINGKAT III

Salinan pengaduan boleh dibeli pada kadar yang ditetapkan sejurus pengaduan dibuat atau tidak lewat daripada tiga (3) hari dari tarikh pengaduan. Bagi dokumen-dokumen lain siasatan seperti gambar, rajah kasar dan salinan rakaman percakapan, pembekalannya bergantung kepada status siasatan dan bantuan logistik. Sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada daerah polis di mana siasatan kes itu dijalankan.

No comments:

Post a Comment